Bayangkan kalau anda hanya tinggal satu hari sahaja untuk hidup atau ini hari terakhir hidup anda. Apakah yang anda akan buat pada hari ini? Apakah yang bakal anda tinggalkan untuk keluarga anda? Apakah yang anda mahukan yang terbaik untuk anak-anak anda terus hidup tanpa anda di sisi mereka?
Pejamkan mata dan bayangkan semua di atas. Tarik nafas dalam-dalam. Fikir sejenak. Adakah kita sudah puas hati dengan hidup kita hari ini dan esok kalau tak hidup lagi pun, kita akan tenang di sana nanti. Bila saya fikir balik, kenapa Rasul yang mulia meletakkan status bijak kepada sesiapa yang selalu mengingatkan kematian, adalah supaya kita lebih bersedia dalam apa jua keadaan sekalipun. Persediaan amalan (utama untuk akhirat), persediaan ilmu (untuk hidup), persediaan harta (untuk menyumbang), persediaan keluarga, persediaan apa yang terbaik untuk kita tinggalkan andai nyawa kita tidak lagi diberi Tuhan keesokan hari.
Oleh itu, firman Allah di dalam Surah Luqman, ayat 34, “Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (samada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya”.
Sebab itu semua orang sangat perlu bersedia. Bila kita bersedia dengan ilmu dan amalan yang mantap, Allah SWT itu amat mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Apa yang bakal ditinggalkan juga akan ringan bebanannya dan mudah perjalanan mereka walaupun kita tiada menemani.
Persoalannya, adakah kita semua betul-betul bersedia? Adakah kita semua sudah tahu apa rancangan kita untuk menghadapi 2015 nanti?
Selamat Datang Tahun Baru 2015. Tetapi sejauh manakah anda rasa ianya dialu-alukan di dalam hidup anda. Adakah anda betul-betul diterima. Tetamu ada yang datang dengan temujanji dan ada yang datang tanpa temujanji. Tapi, walaupun ada tetamu yang datang tanpa memberitahu lebih awal, kita tetap akan menyambut kedatangannya disebabkan kita memang sentiasa bersedia. Tahun 2015 yang bakal menjadi tetamu kita esok, walaupun kita sedia maklum akan kedatangannya, sedia maklum apakah cabarannya, namun adakah kita masih sentiasa bersedia atau hanya menyerah pada takdir untuk berubah?
Atau, apakah yang masih kurang dalam kehidupan anda. Ketahuilah, orang yang berjaya adalah orang yang sentiasa bersedia tidak kira apa sahaja cabaran dan rintangannya. Mereka sangat peka dan sensitif pada setiap apa sahaja isu yang timbul.
Sebelum itu, saya nak anda nilai dari 1 – 10 (1 paling kurang, 10 paling tinggi) tentang 10 aspek kehidupan berikut:
- Hubungan dengan Tuhan
- Hubungan dengan ibu bapa dan keluarga
- Kerjaya
- Perniagaan
- Kewangan
- Kesihatan
- Kebahagiaan
- Kebebasan masa
- Menambah nilai dalam kehidupan orang lain
- Ilmu duniawi dan ukhrawi (akhirat)
Terima kasih kerana anda buat apa yang saya minta. Ada sesuatu yang bakal berlaku tak lama lagi mengikut berapa banyak nilaian yang telah anda berikan dari soalan 1 hingga ke 10 tadi.
Sumber : http://www.azharmokhtar.com/